INFO


Sejarah tidak boleh menolak, peranan A.L Birch, seorang jurutera British yang membawa set radio pertama ke Malaya pada tahun 1921. Dengan kemasukan radio tersebut, maka tertubuhlah Persatuan Wireless Johor pada tahun 1923, yang memulakan siaran melalui gelombang 300 meter. Pada tahun 1925, Persatuan yang sama juga ditubuhkan di Pulau Pinang. Diikuti pula dengan penubuhan Persatuan Wireless Tanah Melayu di Kuala lumpur pada tahun 1928. Persatuan Wireless Pulau Pinang telah berjaya mendapat lesen yang juga merupakan lessen pertama dikeluarkan di Malaya pada 24 Ogos 1934 atas nama seorang ahli persatuan bernama Khoo Sian Ewe.

Penubuhan Jabatan Siaran Radio di Singapura pada 1 April 1946, secara rasmi menjadi tarikh keramat bermulanya sejarah radio di Malaya. Perkembangan dan keberkesanan Radio Malaya turut mempengaruhi Sabah & Sarawak. Ini kerana pada tahun 1952, telah menyaksi bidang penyiaran secara percubaan bermula di Borneo Utara. Pelancaran Rasmi Radio Sarawak pada tahun 1954 & Radio Sabah pada tahun berikutnya telah membawa era baru kepada rakyat Sabah & Sarawak.

Siaran langsung penurunan The Union Jack & pengisytiharan kemerdekaan yang disiarkan secara langsung oleh Radio Malaya adalah bahan sejarah yang amat penting yang telah dilaksanakan oleh Radio Malaya.

Satu demi satu peristiwa bersejarah Radio Malaya, dibawa kepada pendengarnya. Nyata Radio Malaya adalah amat penting ketika itu untuk menjadi mata, telinga dan mulut rakyat bagi menyatakan matlamat dan arah tuju pentadbiran kerajaan. Selain daripada berperanan untuk menyebar berita, Radio Malaya banyak menyiarkan kejayaan kerajaan dalam membangun Negara. Juga mewujudkan suasana harmoni di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa & agama.

Radio Malaya juga banyak memainkan peranannya dalam membentuk sahsiah diri untuk menyemarak dan memperkayakan pejuang, pelapis, pengamal seni tanah air, radio juga banyak menganjurkan pertandingan. Antaranya bintang radio yang telah melahirkan ramai bintang seni yang disegani hingga ke hari ini.

Peranan stesen radio negeri-negeri juga, banyak membantu kerajaan untuk mendengar dan menyelami permasalahan rakyat. Ini menjadikan RTM sebagai saluran yang berkesan untuk menjadi lidah rakyat & kerajaan. Menyedari masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum & etnik, RTM telah mewujudkan beberapa siaran radio yang mewakili kaum & etnik Malaysia. Keberkesanan stesen radio ini amat ketara & memberi satu impak besar kepada masyarakat. Ianya dapat kita lihat sehingga hari ini.

Siaran Radio Bidayuh adalah Rangkaian Radio Sarawak yang ketiga (3) yang telah dilancarkan dalam bulan Jun 1963 sebelum tertubuhnya Malaysia pada 16 September 1963.

Siaran Radio Bidayuh, yang ketika itu dikenali sebagai Rangkaian Biru bersiaran menggunakan  3 dialek iaitu Bidayuh Biatah, Bau-Jagoi dan Bukar-Sadong, menerusi gelombang angin pendek 7270 kilohertz (sw) dan gelombang  angin sederhana (mw) 729 kilohertz.

Juruhebah Bidayuh yang pertama pada masa itu ialah Mendiang Eklim Jaboh, yang juga ketua Perkhidmatan Bidayuh yang pertama.

Stesen Radio Bidayuh pada ketika itu sangat popular dikalangan pendengar, terutamanya masyarakat di luar bandar, memandangkan radio adalah satu-satunya medium untuk mendapatkan info dan berita selain hiburan.

Mulai tahun 2004, Stesen Radio Bidayuh bersiaran menggunakan Frekuensi Modulation(fm) 101.3 megahertz, disamping masih mengekalkan siaran menggunakan gelombang angin pendek (sw) 7270 kilohertz.

Pada bulan April 2004 pula, semasa semua siaran Radio RTM telah diberi penjenamaan baru, Rangkaian Biru ditukar nama kepada WAIfm Bidayuh, menggunakan  fm101.3 megahertz dan 106.9 megahertz. Ketika itu, WAIfm dikongsi bersama WAIfm Iban dan WAIfm Kayan, bersiaran 18 jam sehari.

Dengan gelombangfm tersebut WAIfm Bidayuh bersiaran selama 6 jam sehari, iaitu dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari (Segmen Yun Ngan Di Arun ) dan jam 9.00 malam hingga 12.00 tengah malam (Segmen Ngaruom Pawon).

Ngaruom Pawun, yang merupakan Zon Interaktif WAIfm selama 3 jam sehari telah dapat menarik ramai pendengar dari pelbagai bangsa sehingga tertubuhnya Fan Club WAIfm Bidayuh pada tahun 2004.

Selaras dengan tagline “Gerak Bisamah” WAIfm Bidayuh menerbitkan pelbagai bentuk rancangan, selain menyiarkan berita menggunakan tiga (3) dialek utama Bidayuh iaitu Bau-Jagoi, Bukar Sadong dan Biatah.

Pada tahun 2010, WAIfm Bidayuh telah mengorak selangkah ke hadapan dengan bersiaran 12 jam sehari iaitu  menggunakan saluran 8 berkongsi dengan WAIfm Kayan sehingga kini. Mulai dari tahun tersebut siaran WAIfm Bidayuh dibahagikan kepada  empat (4) segmen iaitu Makat Karimuhas (0600hrs-0900hrs), Segmen Yun Ngan Di Arun (0900hrs-1200hrs), Nganchang Petu’ (1800hrs-2100hrs) dan Segmen Ngaruom Pawon (2100hrs-2400hrs)     WAIfm Iban pula masih kekal menggunakan Frekuensi Modulation (fm) 101.3 dan 106.9 megahertz sehingga kini.

Peminat dan pendengar WAIfm Bidayuh kini semakin bertambah dengan adanya teknologi terkini  dan media sosial seperti fb, myklik dan RTM mobile.

Klik pada jadual untuk melihat paparan penuh.
Sila klik pautan direktori untuk maklumat lanjut.